Tuesday, May 17, 2005

Info Guru

Seronok bertugas rahsia guru cemerlang
(Utusan Malaysia 17 hb 5 2005)

SEREMBAN 16 Mei - Lima Tokoh Guru Kebangsaan 2005 sependapat rahsia penting untuk menjadi guru cemerlang ialah keseronokan serta minat mendalam kepada profesion yang diceburi.
Selain itu mereka juga sekata mengenai aspek lain yang penting iaitu setiap guru mesti mengetahui dan memahami peranan masing-masing sebagai pendidik.
Bagi Engku Tik Azizah Engku Abdul Malek, 61, keseronokan bekerja menyebabkan beliau tabah menghadapi segala cabaran sepanjang kerjayanya sebagai pendidik.
``Selain itu, sebagai pendidik yang menjadi rujukan pelajar, guru juga perlu sentiasa peka dengan perubahan terutama di sekitar dunia pendidikan,'' katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-34 di Stadium Tertutup Nilai, di sini.
Sepanjang kerjayanya, beliau banyak menyumbang ke arah pembangunan kurikulum dan kokurikulum di daerah Hulu Langat dan Jabatan Pelajaran Selangor.
Anak kelahiran Pekan, Pahang ini pernah dilantik menjadi Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Petaling dan Hulu Langat. Beliau juga aktif dalam persatuan profesional dan sukarela.
Teoh Huat @ Teo Teck Huat, 65, yang aktif dalam pelbagai aktiviti berkaitan pendidikan selain menjadi guru, tidak pernah menganggap profesion yang diceburinya sebagai sesuatu yang memberi tekanan kepadanya.
Sebaliknya, bagi beliau, setiap cabaran yang mendatang, harus dihadapi secara positif.
``Saya tidak ada cita-cita lain selain menjadi guru. Saya sayangkan kanak-kanak dan puas apabila melihat kejayaan mereka,'' katanya.
Kecemerlangan Teck Huat yang berasal dari Muar, Johor ini tidak terhad di bilik darjah.
Beliau sebaliknya begitu aktif ke arah peningkatan pendidikan khususnya bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Beliau juga adalah antara tokoh aktif dalam bidang penulisan berasaskan pendidikan dan telah menghasilkan lebih 90 buah buku ciptaan kreatif sastera kanak-kanak dan remaja.
Teck Huat pernah menerima banyak anugerah termasuk Hadiah Sastera Jabatan Perdana Menteri dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Anak jati Kampung Kundur Hilir, Ramli Amat, 65, pula berpendapat, sebagai pendidik, perkara penting yang tidak harus diabaikan ialah untuk sentiasa meningkatkan dan memperbaharui ilmu.
Selain itu kata beliau, adalah penting juga bagi seorang guru untuk bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan terutamanya dalam kesatuan perguruan.
``Penglibatan kita dalam aktiviti-aktiviti kesatuan ini adalah satu perkara yang positif dan boleh membantu seseorang guru itu memperkayakan pengalamannya,'' katanya.
Sepanjang perkhidmatannya, Ramli adalah guru yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan terutamanya persatuan dan kesatuan.
Beliau yang pernah dipilih sebagai Tokoh Guru Cemerlang Negeri Sembilan pada tahun 1992 dan Tokoh Guru Negeri Sembilan pada 2002 aktif dalam Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB), Gabungan Majlis Guru Besar dan masih aktif dalam aktiviti berpakaian seragam terutamanya Pengakap.
Pendapatnya disokong oleh seorang lagi tokoh guru, Manan Mohamed Noh, 68, yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor.
Bagi Manan, adalah penting bagi seorang guru untuk sentiasa berdamping dengan masyarakat.
``Ini akan mendekatkan lagi mereka dengan masyarakat, dapat lebih banyak pengalaman dan menambahkan lagi pengetahuan mereka sendiri,'' jelasnya.
Sepanjang perkhidmatannya selama 34 tahun, beliau banyak memberi sumbangan besar kepada kebajikan guru dalam memperjuangkan untung nasib profesion ini.
Seorang lagi tokoh guru, Ghazali Yusuf, 81, menasihatkan guru-guru supaya tidak mengamalkan sikap tidak apa dan tidak peduli dengan perkembangan di sekeliling mereka terutama sekali yang melibatkan anak didik.
``Walau sesibuk manapun tugas seorang guru itu, mereka kena mempunyai sifat ambil tahu.
``Dengan itu, mereka mudah mendekati pelajar jika timbul sebarang masalah,'' katanya.
Ghazali yang berasal dari Sibu, Sarawak, berkhidmat selama 30 tahun dalam bidang pendidikan.
Pada tahun 1960-an, beliau telah membuat kajian berhubung Kaedah Pengajaran Bahasa Inggeri Sekolah Rendah dan merupakan kumpulan pertama melaksanakan `Primary English Method Syllabus (PEMS). Beliau adalah tokoh Guru Negeri Sarawak dua tahun lalu.

No comments: