Tuesday, October 06, 2009

Awasi lidah ketika berkempen elak saling memfitnah, adu domba

Dipetik dari Berita Harian 06.10.09
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
KEBELAKANGAN ini fitnah semakin kerap berlaku. Sepatutnya dalam siri ucapan untuk berkempen, tidak berlaku serangan peribadi bagi menjatuhkan maruah seseorang apabila pemimpin membuat kenyataan. Setiap individu wajib memelihara lidahnya daripada menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, mengata, mengumpat, membuat fitnah dan menjatuhkan air muka orang lain. Nabi Muhammad SAW memberi banyak ingatan mengenai perkara itu. Antaranya sabda Baginda bermaksud: "Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya." (Hadis at-Tirmizi). Rasulullah juga bersabda bermaksud: "Bukanlah dia seorang mukmin (jika) dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
innity_country = "MY";
innity_client = "17";
innity_zone = "761";
innity_channel = "";
innity_keyword = "";
Pesan Rasulullah lagi bermaksud: "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya." (Diriwayatkan Baihaqi). Imam Nawawi ketika membicarakan hal sama berkata: "Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya daripada sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. "Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri. Ini kerana percakapan yang diharuskan membawa kepada haram atau makruh. Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis di atas membawa maksud seseorang yang beriman perlu mengawasi lidahnya dan hanya berkata perkara yang baik kepada dirinya dan orang lain. Sekiranya tidak membawa kebaikan, lebih baik berdiam diri saja. Rasulullah ditanya mengenai kelakuan yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab baginda: "Takwa kepada Allah dan keindahan akhlak." Ketika Baginda ditanya apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka? Baginda menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan." Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya, Rasulullah bermaksud: "Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya". Begitulah pentingnya kita memelihara lidah daripada percakapan yang buruk, keji dan tidak mendatangkan faedah. Allah mengurniakan umatnya dengan sebaik-sebaiknya nikmat. Oleh itu, nikmat lidah yang diberikan, hendaklah digunakan ke jalan yang direda-Nya.
Dalam menghuraikan peranan lidah, Imam al-Ghazali berkata: "Ketahuilah bahawa bahaya lidah itu amat besar dan manusia tidak selamat daripada bahaya ini, melainkan mengucapkan tutur kata baik saja." Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Jagalah lidahmu kecuali bila berkata baik. Dengan berlaku demikian, engkau mengalahkan syaitan." Umat Islam tidak seharusnya menggunakan lidah untuk mencela, mencaci, memaki hamun dan berbohong. Amat mendukacitakan apabila umat Islam sanggup melemparkan kata kesat dan keji ke pada saudaranya. Mereka seolah-olah tidak memikirkan balasan yang bakal diterima nanti. Sebenarnya, orang yang menggunakan lidah ke arah keburukan tidak pandai menilai nikmat kurniaan Allah. Orang sebegini dianggap mengkufuri nikmat kurniaan Allah. Kesimpulannya, sebagai orang beriman kita harus mengawasi tutur kata. Berfikir sebelum mengucapkan perkataan. Jika perkataan yang hendak diucapkan itu tiada bahayanya, ucapkanlah. Jika sebaliknya, hindarilah daripada berkata-kata.

No comments: